Saturday, 5 January 2013
Terdapat Enam Sifat Mulia Yang Di Miliki Oleh Orang Mukmin Ketika Di Timpa Musibah
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.....
بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيم
Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.
Sahabat yang dirahmati Allah dah lama Icuk tak update blog disebabkan kesibukan kerja dan tugas seharian, Alhamdulillah hari ni ada sedikit kelapangan boleh la menulis sedekit sebanyak untuk kita kongsikan bersama semoga kita semua mendapat rahmat dan manfaat InsyaAllah.
Setiap muslim yang diciptakan oleh Allah SWT dimuka bumi ini tidak akan sunyi daripada ditimpa musibah, penyakit atau dugaan. Besar atau kecil musibah atau dugaan tersebut bergantung kepada kekuatan iman yang dimiliki oleh seseorang hamba Allah itu. Semakin kuat iman dan takwanya maka semakin berat ujian tersebut berlaku keatas dirinya. Ujian ini adalah penilaian Allah SWT untuk meningkatkan makam atau darjat seseorang hamba disisi Tuhannya.
Mengapa umat Islam sentiasa bersangka buruk kepada Allah SWT apabila ditimpa satu kesusahan atau musibah? Adakah ini satu penyeksaan atau ujian daripada Allah? Perkara sebegini pasti bermain di dalam fikiran kalian.
Ketika ditimpa musibah, hati sentiasa rasa resah gelisah, hidup menjadi tidak tenang tanpa panduan. Kadang-kala membuat sesuatu pekerjaan tidak menjadi. Fikiran risau tidak tentu arah seperti berada di lautan dalam tanpa pertolongan. Apabila dirasakan terlalu berat, tidak mampu dipikul sehinggakan sampai satu tahap, kalian merasakan hidup ini begitu sukar dan fikiran buntu tidak tahu dimana harus di cari penyelesaiannya!
Ingatlah... sesungguhnya orang mukmin tidak akan berputus asa dengan rahmat Allah SWT. Biar betapa beratnya bahu untuk memikul musibah ini yakinlah bahawa Dia sahaja akan dapat memberi pertolongan dan setiap kesusahan itu ada kejayaan dan kebahagiaan.
Allah SWT berfirman maksudnya : "Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya. Ia mendapat pahala (dari kebajikan) yang diusahakannya dan ia mendapat seksa (dari kejahatan) yang dikerjakannya."(Surah al-Baqarah ayat 286)
Memang hidup ini tidak akan pernah sunyi daripada setiap dugaan dan ujian. Apa yang boleh di katakan, sebagai umat Islam, seharusnya kalian yakin sesungguhnya setiap cabaran dan ujian hidup itu adalah bukti kasih sayang Allah terhadap kalian semua.
Sebenarnya kalian tidak tahu bahawa Allah SWT amat sayang kepada kalian, sebab itu Allah SWT datangkan dengan pelbagai ujian dan musibah, kerana Allah SWT tahu kalian adalah hamba yang mampu mnghadapi ujianNya. Sebaliknya, Allah SWT tidak akan menguji kalian jika kalian hamba yang tidak mampu.
Allah SWT berfirman maksudnya : "(Iaitu) orang-orang yang apabila mereka ditimpa oleh sesuatu kesusahan, mereka berkata: ‘Sesungguhnya Kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah Kami kembali’." (Surah al-Baqarah ayat 156)
Terdapat enam sifat mulia yang dimiliki oleh orang mukmin apabila ditimpa musibah. Sifat-sifat tersebut adalah seperti berikut :
Pertama : Sentiasa beriman dan reda terhadap ketentuan takdir daripada Allah SWT.
Orang mukmin yang beriman dan bertakwa akan sentiasa reda terhadap ketentuan takdir daripada Allah SWT, walaupun terpaksa menanggung musibah tersebut.
Kita wajib beriman bahawa segala musibah yang berlaku seperti gempa bumi, banjir, wabak penyakit adalah ketetapan daripada Allah SWT telah tertulis di Lauhul Mahfuz. Kita wajib menerima ketentuan Allah SWT ini dengan berlapang dada (reda).
Allah SWT berfirman: "Tiada suatu bencana pun yang menimpa di bumi dan pada dirimu sendiri melainkan telah tertulis dalam kitab (Lauhul Mahfuz) sebelum Kami menciptakannya. Sesungguhnya yang demikian itu adalah mudah bagi Allah."
(Surah AL-Hadid ayat 22)
Kita wajib menerima takdir Allah ini dengan penuh reda, bukan dengan perasaan geram , marah atau mengeluh kepada Allah SWT .
Kedua : Sabar menghadapi musibah.
Orang mukmin sentiasa bersabar apabila ditimpa musibah. Sifat kesabaran yang tinggi akan mendapat ganjaran daripada Allah SWT tanpa hisab.
Menurut Imam As-Suyuthi dalam tafsir al-Jalalain, sabar adalah menahan diri daripada segala apa yang dibenci (al-habsu li an-nafsi 'alaa maa takrahu). Sikap inilah yang wajib dimiliki ketika kita menghadapi musibah. Selain itu, kita disunnahkan untuk mengucapkan kalimat istirja' (Inna lillaahi wa innaa ilaihi raaji'uun) ketika berlaku musibah.
Allah SWT berfirman: “Dan sesungguhnya akan Kami berikan ujian kepadamu dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan. Dan berikanlah berita gembira kepada orang-orang yang sabar. Orang-orang yang apabila ditimpa musibah, mereka mengucapkan: "Inna lillaahi wa innaa ilaihi raaji'uun".”
(Surah Al-Baqarah ayat 155-156)
Oleh yang demikian, bersabarlah. Jangan sampai kita hilang perasaan sabar dengan berputus asa atau berprasangka buruk seakan-akan Allah SWT tidak akan memberikan kita kebaikan pada masa hadapan. Ingatlah bahawa putus asa itu adalah su`uzh-zhan billah (berburuk sangka kepada Allah)! Su`uzh-zhan kepada manusia pun tidak dibolehkan, apatah lagi kepada Allah SWT. Na’uzubillahi min zalik.
Allah SWT menegaskan bahawa sikap tersebut adalah sikap yang kufur sebagaimana firmanNya yang bermaksud : "Sesungguhnya tiada berputus asa daripada rahmat Allah melainkan kaum yang kafir." (Surah Yusuf ayat 87)
Dari Ummu Salamah RA mengisahkan: aku pernah mendengar Rasulullah SAW bersabda, “Barang siapa ditimpa musibah, selanjutnya ia berkata: "Ya Allah, berikahlah pahala atas musibahku dan berikanlah ganti untukku yang lebih baik daripada musibah tersebut. Melainkan Allah memberikan ganti yang lebih baik daripada musibah yang menimpanya."
Ummu Salamah berkata, "Ketika Abu Salamah meninggal dunia, aku berkata, "Adakah kaum Muslim yang lebih baik daripada Abu Salamah? Dia adalah keluarga pertama yang berhijrah kepada Rasulullah SAW, kemudian aku mengucapkan doa di atas lalu Allah memberi ganti untukku berupa rasulNya. Rasulullah SAW mengutuskan Hathib bin Abu Balta'ah untuk melamarku untuk beliau. Aku mempunyai anak perempuan dan aku adalah wanita pencemburu. Beliau bersabda, "Adapun anak perempuannya, maka aku berdoa kepada Allah mudah-mudahan Allah mencukupinya (Ummu Salamah) dengannya dan aku berdoa kepada Allah agar Allah menghilangkan sifat cemburu. Kemudian aku bernikah dengan Rasulullah SAW."(Hadith Riwayat Muslim)
Ketiga : Mengetahui hikmah di sebalik musibah.
Seseorang mukmin yang mengetahui hikmah (rahsia) di sebalik musibah akan memiliki kekuatan mental yang baik. Berbeza dengan orang yang hanya memahami musibah secara cetek iaitu dengan hanya melihatnya secara zahir sahaja. Mentalnya sangat lemah dan mudah mengeluh atas segala musibah yang menimpa.
Antara hikmah musibah adalah untuk diampunkan dosa-dosanya.
Sabda Rasulullah SAW yang maksudnya : "Tiadalah seorang mukmin yang ditimpa musibah tertusuk duri atau lebih (teruk) daripada itu melainkan dengannya (musibah tersebut) Allah akan menghapuskan sebahagian daripada dosa-dosanya." (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)
Seseorang muslim yang mati ditimpa bangunan atau tembok akibat gempa bumi adalah tergolong sebagai orang yang mati syahid.
Sabda Nabi SAW maksudnya : "Orang-orang yang mati syahid itu ada lima golongan; (1) orang yang terkena wabak penyakit taun, (2) orang yang terkena penyakit perut (disentri, taun, dan sebagainya), (3) orang yang tenggelam, (4) orang yang ditimpa tembok/bangunan, dan (5) orang yang mati syahid dalam peperangan di jalan Allah." (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)
Rasulullah SAW juga bersabda maksudnya : "Akan diampuni bagi orang yang mati syahid segala dosa-dosanya, kecuali hutang." (Hadis riwayat Muslim)
Hikmah lain adalah jika anak-anak muslim meninggal, kelak mereka akan masuk ke syurga. Sabda Nabi SAW maksudnya : "Anak-anak kaum muslimin (yang meninggal) akan masuk ke dalam syurga." (Hadis riwayat Ahmad)
Keempat : Tetap Terus Berikhtiar.
Orang mukmin akan terus berikhtiar dan berusaha bersungguh-sungguh untuk menghindarkan diri daripada sebarang bahaya yang muncul. Kita tidak disuruh untuk berdiam diri atau pasrah berpangku tangan bertongkat dagu menunggu bantuan datang ketika musibah menimpa kita.
Beriman kepada ketentuan Allah SWT bukan bererti kita hanya duduk diam termenung dan meratapi nasib tanpa berusaha untuk mengubah apa yang ada pada diri kita.
Allah SWT berfirman maksudnya : "Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah keadaan sesuatu kaum sehingga mereka mengubah keadaan yang ada pada diri mereka sendiri."
(Surah Ar-Ra’du ayat 11)
Ketika berlakunya wabak penyakit di Syam, Umar bin Al-Khattab segera keluar dari negeri tersebut. Ketika ditanya kepadanya, "Adakah kamu hendak lari daripada takdir Allah?", Umar menjawab, "Ya, aku lari daripada takdir Allah ini untuk menuju kepada takdir Allah yang lain."
Rasulullah SAW juga memberi petunjuk bahawa segala bahaya (kemudaratan) wajib untuk dihapuskan (dihindarkan). Misalnya ketiadaan logistik, tempat tinggal, masjid, sekolah dan sebagainya. Nabi SAW bersabda, "Tidak boleh menimbulkan bahaya bagi diri sendiri dan bahaya bagi orang lain." (Hadis riwayat Ibnu Majah)
Kelima : Memperbanyakkan berdoa dan berzikir
Kita sentiasa dianjurkan untuk memperbanyakkan doa dan zikir bagi orang yang ditimpa musibah. Orang yang mahu berdoa dan berzikir adalah lebih mulia di sisi Allah daripada orang yang enggan atau malas.
Rasululah SAW mengajarkan doa bagi orang yang ditimpa musibah: "Allahumma jurnii fii musiibatii wa akhluf lii khairan minhaa" (Ya Allah, berilah pahala dalam musibahku ini dan berilah ganti bagiku yang lebih baik daripadanya.) (Hadis riwayat Muslim)
Zikir juga dapat mententeramkan hati orang yang sedang gelisah atau yang mengalami tekanan.
Allah SWT berfirman maksudnya : "Ingatlah, hanya dengan mengingati Allah sahajalah hati menjadi tenteram."(Surah Ar-Ra’du ayat 28)
Antara zikir yang dianjurkan adalah dengan beristighfar "Astaghfirullahal 'azhim". Sabda Nabi SAW: "Barangsiapa memperbanyakkan istighfar, maka Allah akan membebaskannya daripada kesedihan, memberinya jalan keluar terhadap kesempitannya, dan akan memberinya rezeki daripada arah yang tidak disangka-sangkanya." (Hadis riwayat Abu Daud)
Rasulullah SAW bersabda: Ucapan yang paling disukai Allah itu ada empat, engkau boleh memulainya dengan kalimat mana saja, iaitu Subhanallah (Maha suci Allah), Alhamdulillah (segala puji milik Allah), Laa ilaha illallah (tidak ada Tuhan selain Allah), dan Allahuakbar (Allah Maha besar). (Hadis Riwayat Muslim)
Keenam : Bertaubat kepada Allah SWT.
Tiada seorang hamba yang ditimpa musibah melainkan ia adalah akibat daripada dosa-dosa yang dilakukannya. Maka sudah semestinya dia perlu bertaubat nasuha kepada Allah SWT. Orang yang tidak mahu bertaubat setelah ditimpa musibah adalah orang sombong dan takbur.
Allah SWT berfirman: "Dan apa sahaja musibah yang menimpa kamu, maka ia adalah disebabkan oleh perbuatan tanganmu sendiri, dan Allah memaafkan banyak (daripada kesalahan-kesalahanmu)." (Surah Asy-Syuura ayat 30)
Sabda Nabi SAW: "Setiap anak Adam mempunyai kesalahan (dosa). Dan sebaik-baik orang yang bersalah adalah orang yang bertaubat." (Hadis riwayat at-Tirmidzi)
Terdapat tiga rukun dalam melakukan taubat nasuha :
1. Menyesali atas dosa-dosa yang telah dilakukan.
2. Berhenti daripada melakukan perbuatan dosa-dosanya itu.
3. Berazam (tekad yang kuat) untuk tidak akan mengulangi lagi dosa-dosa tersebut di masa akan datang.
Jika dosa-dosanya berkaitan hubungan sesama manusia seperti belum membayar hutang, pernah memfitnah atau mengumpat seseorang, pernah menyakiti perasaan orang lain dan sebagainya, maka rukun taubat ditambah satu lagi iaitu menyelesaikan masalah urusan sesama manusia dan memohon maaf.
Sahabat yang dikasihi,
Marilah sama-sama kita perbaiki niat kita untuk beramal soleh iaitu mengikhlaskan hati semata-mata kerana Allah SWT. Apa sahaja musibah yang datang perlulah kita tenang, bersabar dan menganggap ianya satu proses pembersihan diri kita daripada dosa-dosa yang pernah kita lakukan. Jika kita mampu melakukannya kita akan berada di dalam kebaikan dan rahmat Allah SWT.
Peace No War! Icuk Threegfm..06-01-2013
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment