Wednesday 31 July 2013

Syawal Bukan Puncak Pesta Makanan


Ramadan hampir melabuhkan tirainya. Fajar Syawal akan menyingsing menandakan bermulanya detik yang dinantikan oleh semua kaum Muslimin setelah berpuasa selama sebulan. Namun, benarkah jihad berpuasa itu benar- benar terkesan dalam sanubari setiap insan?
Atau sekadar menjadi momokan yang sering diperkatakan namun ia tidak seperti yang dilaksanakan? Ramadhan merupakan tarbiyyah untuk setiap Muslim yang melaluinya kerana natijah terakhir daripada Ramadhan ialah taqwa sepertimana yang telah difirmankan oleh Allah SWT dalam surah al Baqarah ayat 183.
Renungkanlah kembali sama ada Ramadhan kali ini membuahkan hasil yang baik atau sebaliknya. Muhasabahlah agar dapat mencari di mana kekurangan kita sebagai hambaNya yang lemah. Andaikata Ramadhan bulan mendidik kita menjadi seorang yang penyabar, berjimat cermat, beradab baik dan pelbagai lagi sifat mahmudah, fikir dan soroti kembali dengan kehidupan nyata yang telah dilalui selama sebulan ini.
Bukankah di sana sini berlaku pembaziran yang tidak diingini dalam masa kita semua menghadapi kekangan ekonomi? Cuba lihat di pasar- pasar Ramadan, seolah- olah pesta makanan bermula apabila berlangsungnya Ramadhan dan ia berterusan sehingga penghujung bulan Syawal. 

Pelbagai juadah dan aneka kuih muih terhidang kadangkala tidak sehebat sebelum Ramadan tetapi melonjak kehebatannya di bulan puasa dan semasa Aidilfitri. Sedar atau tidak, bahawa itu semua merupakan kunci kepada pembaziran dan pelbagai masalah buruk yang lain.
Kalau kita lihat, bukan setakat Ramadan sahaja seperti pesta makanan tetapi apabila menjelang Syawal seolah- olah ia menjadi puncak pesta makanan kerana pelbagai juadah yang dihidangkan membangkitkan selera dan citarasa setiap orang. 

Seolah- olah roh Ramadan itu tidak cukup mengesankan hati kita agar bersederhana dalam apa jua tindakan dan amalan. Kita tidak mampu mengekalkan tarbiyyah yang diterapkan dalam bulan Ramadhan untuk bulan- bulan yang seterusnya. Malah terus diganggu gugat oleh hawa nafsu yang tidak pernah berkesudahan. Aidilfitri dijadikan medan untuk membalas dendam kerana selama sebulan berlapar dan dahaga.
Di segenap rumah pasti tidak ketinggalan untuk mengadakan rumah terbuka sepanjang Syawal dengan menjemput sanak saudara dan rakan taulan. Amalan ini mampu mengeratkan ukhuwah sesama muslim kerana masing- masing sibuk dengan urusan seharian. Tetapi dengan adanya amalan ini ibarat menautkan kembali tali persaudaraan yang terungkai. 

Namun, satu perkara yang mungkin masyarakat kita terlepas pandang ialah penjagaan kesihatan. Penjagaan kesihatan seringkali diabaikan tatkala masyarakat kita terlalu sibuk dengan persiapan hari raya termasuk kesibukan kita dalam memenuhi undangan rumah terbuka. 

Kadangkala, kita seolah- olah melupakan isi kandungan pengajaran yang boleh diambil daripada Ramadan adalah mengawal nafsu termasuk dalam hal yang berkaitan makanan dan minuman. Malah, sesetengah daripada kita menjadikan juadah yang terhidang di depan mata sebagai suatu santapan untuk memenuhkan hawa nafsu yang dikekang selama sebulan dengan mengambil semua jenis makanan yang terhidang yang tidak dapat diambil semasa bulan puasa.
Kita lupa bahawa penjagaan kesihatan itu penting untuk kehidupan yang baik. Adakah ini semangat Syawal yang kita tuai setelah ia disemai sepanjang bulan Ramadan yang mulia?
Undangan rumah terbuka semestinya rancak sepanjang bulan Syawal terutama bagi yang tinggal di kawasan bandar dan ibu kota. Juadah yang disajikan sudah pasti menggoda dan meruntun nafsu. Kita boleh makan tetapi biarlah dalam pengambilan yang terkawal. Selaras dengan tuntuan agama agar bersederhana, menurut pendekatan sains juga pengambilan makanan tidak dibenarkan berlebih- lebihan kerana dikhuatiri akan menimbulkan kesan kepada kesihatan. 

Pengambilan hidangan di hari lebaran yang mengandungi kadar lemak dan gula yang tinggi akan mendedahkan tubuh kepada pelbagai penyakit seperti tekanan darah tinggi, penyakit kencing manis, penyempitan pembuluh darah, penyakit jantung dan sebagainya. Lemak yang berlebihan akibat makan terlalu banyak sukar untuk ditukarkan menjadi gula dalam darah. Oleh itu, makan berlebihan akan membuatkan seseorang itu menjadi lemah dan malas. Lemak dan karbohidrat yang berlebihan akan membawa bahaya kepada kesihatan.
Satu perkara yang tidak boleh dipandang remeh ialah kesan penambahan berat badan akibat pemilihan makanan yang tidak betul dan pengambilan makanan yang berlebihan. Barangkali ramai yang menguntum senyum apabila berjaya menurunkan berat badan semasa bulan Ramadhan. Ia merupakan satu perubahan yang dilalui oleh sesiapa sahaja yang ingin menukar bentuk dan penampilan kerana mampu menahan selera makan selama sebulan. 

Namun, usaha tersebut hanya sia- sia apabila tiba bulan Syawal dan seterusnya, kita tidak mampu menolak segala jenis hidangan yang tersedia. Seharusnya, kita boleh jadikannya sebagai satu langkah permulaan untuk pengekalan kesihatan yang berterusan. Harus diingatkan bahawa bentuk tubuh bukan hanya menggambarkan secara zahir tetapi juga ia melambangkan tahap kesihatan yang dimiliki seseorang. Ini kerana bagi yang berlebihan berat badan, keadaan ini akan mengundang lebih banyak penyakit yang tidak pasti.
Dalam keghairahan menyambut Aidilfitri, pelbagai persiapan disediakan termasuk juadah Aidilfitri mahupun untuk rumah terbuka, namun janganlah sesekali kita mengabaikan soal kepentingan keselamatan makanan. Walaupun ramai yang beranggapan bahawa hari raya seperti puncak pesta makanan, namun ia bukanlah puncak segala- galanya seandainya selepas menikmati pelbagai juadah hari raya, ramai yang terpaksa dimasukkan hospital dan menanggung ketidakselesaan kerana timbul gejala cirit-birit, sakit perut kerana makan keterlaluan ataupun keracunan makanan. 

Inilah akibat jika kita tersalah pilih makanan, memandang ringan soal keselamatan makanan dan makan secara berlebihan sebagai alasan melepaskan dan membalas dendam. Akibatnya, perut menjadi sasaran kerana selama sebulan saluran penghadaman dalam keadaan selesa dan berehat tanpa melakukan aktiviti pencernaan yang berat. 

Jika hal ini berlaku, ia akan menjejaskan kemeriahan kita menyambut hari raya. Oleh itu, seharusnya kita bersyukur dengan didikan Ramadhan yang mengajar kita supaya bersederhana dalam semua perkara termasuk hal makan dan minum, dan semestinya kita mengamalkan apa yang telah sabda Nabi SAW “Kami adalah suatu kaum yang tidak makan sebelum kami lapar dan sekiranya kami makan tidak pula sampai kenyang”.
Justeru, semangat Ramadhan yang telah kita harungi selama sebulan perlu diteruskan sehingga bulan Syawal dan bulan- bulan seterusnya agar menjadi penjana yang berterusan untuk kesihatan jasmani dan rohani.
Semoga Syawal yang kita akan lalui membawa pengertian yang mendalam ke atas jiwa setiap insan bahawa ia bukanlah syarat pembuka selera yang tiada sempadan bagi orang- orang yang telah berjaya menamatkan ujian pada bulan Ramadan.
Kami di 3gfm radio mengucapkan SELAMAT HARI RAYA AIDILFITRI maaf zahir dan batin, Kami juga mendoakan agar rakan-rakan yang pulang ke kampung terutama yang menaiki kenderaan sendiri agar selamat sampai ke destinasi, berhati-hati ketika memandu dan patuhilah undang-undang jalanraya.

Icuk (^_-)V

Saturday 27 July 2013

Ramadan Bukan Pesta Berbelanja




Ramadan bukan saja bulan yang menyuburkan amalan ibadah seperti puasa, tadarus, Tarawih dan qiamullail, malah turut menitikberatkan aspek tarbiah atau latihan bermuamalah seperti berbelanja.Dengan kata lain, Ramadan turut menjadi bulan pemerkasaan budaya bermuamalah sesama manusia.
Tempoh sebulan yang penuh barakah ketika syaitan dibelenggu dan amalan digandakan ganjaran seharusnya dimanfaatkan oleh umat Islam untuk meningkatkan kualiti diri. Namun, ramai juga yang mempersiakan peluang dan ruang diberikan Allah ini, sebaliknya meneruskan amalan penyimpangan yang menjadi budaya dalam diri selama ini.



Allah SW berfirman; “Dan orang yang apabila membelanjakan (harta), mereka tidak berlebih-lebihan dan tidak pula kikir dan adalah (perbelanjaan itu) di tengah antara yang demikian.” (Al-Furqan: 67)

Salah satu amalan penyimpangan yang kadangkala lebih terdedah pada Ramadan ialah budaya berbelanja. Ramadan yang sepatutnya mendidik umat agar lebih berjimat dan berhemah dalam berbelanja sering tersasar daripada landasan sebenar.

Lebih mendukacitakan, ada segelintir kita menjadikan Ramadan bagaikan ‘pesta berbelanja’ makanan, pakaian, perhiasan rumah dan sebagainya. Bazar Ramadan yang menjual dan menyediakan pelbagai juadah juga tidak ketinggalan menjadi medan kerakusan umat berbelanja mengikut hawa nafsu yang mampu menghakis kualiti berpuasa.

Budaya berbelanja

Budaya berbelanja selalunya akan bertambah hebat terutama ketika melalui fasa 10 hari terakhir Ramadan. Fasa yang seharusnya menjadikan umat bertambah kuat beribadah mengejar ganjaran besar dijanjikan Allah termasuk Lailatul Qadar, sebaliknya disibukkan dengan persiapan menjelang perayaan Aidilfitri.

Sudah menjadi kelaziman apabila menjelang Syawal, maka berduyun-duyun orang ramai mengerumuni pusat beli-belah bagi persiapan terakhir sambutan Aidilfitri. Budaya berbelanja dan membeli pelbagai perhiasan, pakaian dan peralatan rumah serba baru sudah menjadi amalan tahunan bagi masyarakat Malaysia.

Memang Islam tidak pernah menghalang umatnya membeli-belah untuk apa jua tujuan atau urusan. Islam juga tidak pernah mengekang umatnya daripada membelanjakan harta bagi tujuan sambutan perayaan keagamaan. Malah, mempersiapkan perhiasan dan mengenakan pakaian yang indah semasa hari raya sebahagian daripada sunah yang dituntut seperti disebut Jabir yang pernah berkata: “Nabi Muhammad SAW sering memakai pakaian terbaik iaitu sepasang jubah yang dipakai khusus pada hari raya dan Jumaat.”

Namun, dalam keghairahan membeli-belah dan berbelanja seperti ini, umat juga harus sentiasa dipasakkan dalam pemikiran agar terus berpegang teguh kepada prinsip dan nilai muamalah Islam sejati. Ini termasuklah untuk sentiasa membudayakan kesederhanaan dalam berbelanja. Budaya sederhana dalam berbelanja adalah ciri Ibadurrahman atau hamba Tuhan yang dijanjikan balasan syurga seperti digambarkan Allah yang bermaksud: “Dan orang yang apabila membelanjakan (harta), mereka tidak berlebih-lebihan dan tidak pula kikir dan adalah (perbelanjaan itu) di tengah antara yang demikian.” (Al-Furqan: 67)

Ibnu Kathir ketika menafsirkan ayat di atas menerangkan hamba Allah yang dimaksudkan ialah orang yang tidak membazir dalam berbelanja dan tidak berbelanja di luar batasan keperluan. Pada masa sama mereka bukan juga tergolong dalam kalangan orang bakhil dan kikir, termasuklah terhadap keluarga, jiran tetangga dan kaum muslimin yang fakir dan miskin.

Bersederhana

Sebaliknya ciri hamba Allah yang diistilahkan sebagai ‘ibadur-rahman’ ini ialah mereka yang adil dan baik kerana sering memilih jalan pertengahan iaitu bersederhana di antara dua budaya ekstrem dalam berbelanja.

Demikian prinsip dan etika penting dalam berbelanja yang digariskan syarak agar diamalkan setiap umat Islam. Jika sikap berlebih-lebihan amat berbahaya bagi individu ataupun masyarakat, demikian pula sifat bakhil menjadi punca kerosakan sesebuah tamadun.

Sebaliknya, sikap dan budaya terbaik ialah sikap dan budaya pertengahan dan sederhana seperti seruan dan acuan Islam. Salah satu nilai kesederhanaan dalam berbelanja dalam acuan Islam ialah saranan agar umat senantiasa membudaya nilai qanaah.

Qanaah salah satu sifat Nabawi yang bermaksud rasa cukup dan puas hati dengan apa jua rezeki pemberian Allah. Qanaah juga manifestasi keimanan yang mampu mengawal dan membatasi sifat ketamakan, kerakusan dan haloba yang mudah menguasai diri manusia.

Nabi SAW bersabda dalam satu hadis dinukilkan At-Tabrani dalam Al-Awsat menyebut: “Sifat qanaah tidak akan menghabiskan harta dan tidak akan menghilangkan rezeki”. Malah Rasulullah SAW turut mengajarkan kepada kita satu doa yang diamalkan baginda setiap kali selepas selesai menunaikan solat dua rakaat seperti berikut: “Ya Tuhanku, jadikan diriku sentiasa rasa puas dengan segala pemberian yang Engkau kurniakan padaku, berkatilah apa yang Engkau anugerahkan kepadaku dan gantikanlah apa yang hilang daripadaku dengan sesuatu yang lebih baik daripada Engkau.”

Penulis ialah Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM)