Wednesday 31 July 2013

Syawal Bukan Puncak Pesta Makanan


Ramadan hampir melabuhkan tirainya. Fajar Syawal akan menyingsing menandakan bermulanya detik yang dinantikan oleh semua kaum Muslimin setelah berpuasa selama sebulan. Namun, benarkah jihad berpuasa itu benar- benar terkesan dalam sanubari setiap insan?
Atau sekadar menjadi momokan yang sering diperkatakan namun ia tidak seperti yang dilaksanakan? Ramadhan merupakan tarbiyyah untuk setiap Muslim yang melaluinya kerana natijah terakhir daripada Ramadhan ialah taqwa sepertimana yang telah difirmankan oleh Allah SWT dalam surah al Baqarah ayat 183.
Renungkanlah kembali sama ada Ramadhan kali ini membuahkan hasil yang baik atau sebaliknya. Muhasabahlah agar dapat mencari di mana kekurangan kita sebagai hambaNya yang lemah. Andaikata Ramadhan bulan mendidik kita menjadi seorang yang penyabar, berjimat cermat, beradab baik dan pelbagai lagi sifat mahmudah, fikir dan soroti kembali dengan kehidupan nyata yang telah dilalui selama sebulan ini.
Bukankah di sana sini berlaku pembaziran yang tidak diingini dalam masa kita semua menghadapi kekangan ekonomi? Cuba lihat di pasar- pasar Ramadan, seolah- olah pesta makanan bermula apabila berlangsungnya Ramadhan dan ia berterusan sehingga penghujung bulan Syawal. 

Pelbagai juadah dan aneka kuih muih terhidang kadangkala tidak sehebat sebelum Ramadan tetapi melonjak kehebatannya di bulan puasa dan semasa Aidilfitri. Sedar atau tidak, bahawa itu semua merupakan kunci kepada pembaziran dan pelbagai masalah buruk yang lain.
Kalau kita lihat, bukan setakat Ramadan sahaja seperti pesta makanan tetapi apabila menjelang Syawal seolah- olah ia menjadi puncak pesta makanan kerana pelbagai juadah yang dihidangkan membangkitkan selera dan citarasa setiap orang. 

Seolah- olah roh Ramadan itu tidak cukup mengesankan hati kita agar bersederhana dalam apa jua tindakan dan amalan. Kita tidak mampu mengekalkan tarbiyyah yang diterapkan dalam bulan Ramadhan untuk bulan- bulan yang seterusnya. Malah terus diganggu gugat oleh hawa nafsu yang tidak pernah berkesudahan. Aidilfitri dijadikan medan untuk membalas dendam kerana selama sebulan berlapar dan dahaga.
Di segenap rumah pasti tidak ketinggalan untuk mengadakan rumah terbuka sepanjang Syawal dengan menjemput sanak saudara dan rakan taulan. Amalan ini mampu mengeratkan ukhuwah sesama muslim kerana masing- masing sibuk dengan urusan seharian. Tetapi dengan adanya amalan ini ibarat menautkan kembali tali persaudaraan yang terungkai. 

Namun, satu perkara yang mungkin masyarakat kita terlepas pandang ialah penjagaan kesihatan. Penjagaan kesihatan seringkali diabaikan tatkala masyarakat kita terlalu sibuk dengan persiapan hari raya termasuk kesibukan kita dalam memenuhi undangan rumah terbuka. 

Kadangkala, kita seolah- olah melupakan isi kandungan pengajaran yang boleh diambil daripada Ramadan adalah mengawal nafsu termasuk dalam hal yang berkaitan makanan dan minuman. Malah, sesetengah daripada kita menjadikan juadah yang terhidang di depan mata sebagai suatu santapan untuk memenuhkan hawa nafsu yang dikekang selama sebulan dengan mengambil semua jenis makanan yang terhidang yang tidak dapat diambil semasa bulan puasa.
Kita lupa bahawa penjagaan kesihatan itu penting untuk kehidupan yang baik. Adakah ini semangat Syawal yang kita tuai setelah ia disemai sepanjang bulan Ramadan yang mulia?
Undangan rumah terbuka semestinya rancak sepanjang bulan Syawal terutama bagi yang tinggal di kawasan bandar dan ibu kota. Juadah yang disajikan sudah pasti menggoda dan meruntun nafsu. Kita boleh makan tetapi biarlah dalam pengambilan yang terkawal. Selaras dengan tuntuan agama agar bersederhana, menurut pendekatan sains juga pengambilan makanan tidak dibenarkan berlebih- lebihan kerana dikhuatiri akan menimbulkan kesan kepada kesihatan. 

Pengambilan hidangan di hari lebaran yang mengandungi kadar lemak dan gula yang tinggi akan mendedahkan tubuh kepada pelbagai penyakit seperti tekanan darah tinggi, penyakit kencing manis, penyempitan pembuluh darah, penyakit jantung dan sebagainya. Lemak yang berlebihan akibat makan terlalu banyak sukar untuk ditukarkan menjadi gula dalam darah. Oleh itu, makan berlebihan akan membuatkan seseorang itu menjadi lemah dan malas. Lemak dan karbohidrat yang berlebihan akan membawa bahaya kepada kesihatan.
Satu perkara yang tidak boleh dipandang remeh ialah kesan penambahan berat badan akibat pemilihan makanan yang tidak betul dan pengambilan makanan yang berlebihan. Barangkali ramai yang menguntum senyum apabila berjaya menurunkan berat badan semasa bulan Ramadhan. Ia merupakan satu perubahan yang dilalui oleh sesiapa sahaja yang ingin menukar bentuk dan penampilan kerana mampu menahan selera makan selama sebulan. 

Namun, usaha tersebut hanya sia- sia apabila tiba bulan Syawal dan seterusnya, kita tidak mampu menolak segala jenis hidangan yang tersedia. Seharusnya, kita boleh jadikannya sebagai satu langkah permulaan untuk pengekalan kesihatan yang berterusan. Harus diingatkan bahawa bentuk tubuh bukan hanya menggambarkan secara zahir tetapi juga ia melambangkan tahap kesihatan yang dimiliki seseorang. Ini kerana bagi yang berlebihan berat badan, keadaan ini akan mengundang lebih banyak penyakit yang tidak pasti.
Dalam keghairahan menyambut Aidilfitri, pelbagai persiapan disediakan termasuk juadah Aidilfitri mahupun untuk rumah terbuka, namun janganlah sesekali kita mengabaikan soal kepentingan keselamatan makanan. Walaupun ramai yang beranggapan bahawa hari raya seperti puncak pesta makanan, namun ia bukanlah puncak segala- galanya seandainya selepas menikmati pelbagai juadah hari raya, ramai yang terpaksa dimasukkan hospital dan menanggung ketidakselesaan kerana timbul gejala cirit-birit, sakit perut kerana makan keterlaluan ataupun keracunan makanan. 

Inilah akibat jika kita tersalah pilih makanan, memandang ringan soal keselamatan makanan dan makan secara berlebihan sebagai alasan melepaskan dan membalas dendam. Akibatnya, perut menjadi sasaran kerana selama sebulan saluran penghadaman dalam keadaan selesa dan berehat tanpa melakukan aktiviti pencernaan yang berat. 

Jika hal ini berlaku, ia akan menjejaskan kemeriahan kita menyambut hari raya. Oleh itu, seharusnya kita bersyukur dengan didikan Ramadhan yang mengajar kita supaya bersederhana dalam semua perkara termasuk hal makan dan minum, dan semestinya kita mengamalkan apa yang telah sabda Nabi SAW “Kami adalah suatu kaum yang tidak makan sebelum kami lapar dan sekiranya kami makan tidak pula sampai kenyang”.
Justeru, semangat Ramadhan yang telah kita harungi selama sebulan perlu diteruskan sehingga bulan Syawal dan bulan- bulan seterusnya agar menjadi penjana yang berterusan untuk kesihatan jasmani dan rohani.
Semoga Syawal yang kita akan lalui membawa pengertian yang mendalam ke atas jiwa setiap insan bahawa ia bukanlah syarat pembuka selera yang tiada sempadan bagi orang- orang yang telah berjaya menamatkan ujian pada bulan Ramadan.
Kami di 3gfm radio mengucapkan SELAMAT HARI RAYA AIDILFITRI maaf zahir dan batin, Kami juga mendoakan agar rakan-rakan yang pulang ke kampung terutama yang menaiki kenderaan sendiri agar selamat sampai ke destinasi, berhati-hati ketika memandu dan patuhilah undang-undang jalanraya.

Icuk (^_-)V

Saturday 27 July 2013

Ramadan Bukan Pesta Berbelanja




Ramadan bukan saja bulan yang menyuburkan amalan ibadah seperti puasa, tadarus, Tarawih dan qiamullail, malah turut menitikberatkan aspek tarbiah atau latihan bermuamalah seperti berbelanja.Dengan kata lain, Ramadan turut menjadi bulan pemerkasaan budaya bermuamalah sesama manusia.
Tempoh sebulan yang penuh barakah ketika syaitan dibelenggu dan amalan digandakan ganjaran seharusnya dimanfaatkan oleh umat Islam untuk meningkatkan kualiti diri. Namun, ramai juga yang mempersiakan peluang dan ruang diberikan Allah ini, sebaliknya meneruskan amalan penyimpangan yang menjadi budaya dalam diri selama ini.



Allah SW berfirman; “Dan orang yang apabila membelanjakan (harta), mereka tidak berlebih-lebihan dan tidak pula kikir dan adalah (perbelanjaan itu) di tengah antara yang demikian.” (Al-Furqan: 67)

Salah satu amalan penyimpangan yang kadangkala lebih terdedah pada Ramadan ialah budaya berbelanja. Ramadan yang sepatutnya mendidik umat agar lebih berjimat dan berhemah dalam berbelanja sering tersasar daripada landasan sebenar.

Lebih mendukacitakan, ada segelintir kita menjadikan Ramadan bagaikan ‘pesta berbelanja’ makanan, pakaian, perhiasan rumah dan sebagainya. Bazar Ramadan yang menjual dan menyediakan pelbagai juadah juga tidak ketinggalan menjadi medan kerakusan umat berbelanja mengikut hawa nafsu yang mampu menghakis kualiti berpuasa.

Budaya berbelanja

Budaya berbelanja selalunya akan bertambah hebat terutama ketika melalui fasa 10 hari terakhir Ramadan. Fasa yang seharusnya menjadikan umat bertambah kuat beribadah mengejar ganjaran besar dijanjikan Allah termasuk Lailatul Qadar, sebaliknya disibukkan dengan persiapan menjelang perayaan Aidilfitri.

Sudah menjadi kelaziman apabila menjelang Syawal, maka berduyun-duyun orang ramai mengerumuni pusat beli-belah bagi persiapan terakhir sambutan Aidilfitri. Budaya berbelanja dan membeli pelbagai perhiasan, pakaian dan peralatan rumah serba baru sudah menjadi amalan tahunan bagi masyarakat Malaysia.

Memang Islam tidak pernah menghalang umatnya membeli-belah untuk apa jua tujuan atau urusan. Islam juga tidak pernah mengekang umatnya daripada membelanjakan harta bagi tujuan sambutan perayaan keagamaan. Malah, mempersiapkan perhiasan dan mengenakan pakaian yang indah semasa hari raya sebahagian daripada sunah yang dituntut seperti disebut Jabir yang pernah berkata: “Nabi Muhammad SAW sering memakai pakaian terbaik iaitu sepasang jubah yang dipakai khusus pada hari raya dan Jumaat.”

Namun, dalam keghairahan membeli-belah dan berbelanja seperti ini, umat juga harus sentiasa dipasakkan dalam pemikiran agar terus berpegang teguh kepada prinsip dan nilai muamalah Islam sejati. Ini termasuklah untuk sentiasa membudayakan kesederhanaan dalam berbelanja. Budaya sederhana dalam berbelanja adalah ciri Ibadurrahman atau hamba Tuhan yang dijanjikan balasan syurga seperti digambarkan Allah yang bermaksud: “Dan orang yang apabila membelanjakan (harta), mereka tidak berlebih-lebihan dan tidak pula kikir dan adalah (perbelanjaan itu) di tengah antara yang demikian.” (Al-Furqan: 67)

Ibnu Kathir ketika menafsirkan ayat di atas menerangkan hamba Allah yang dimaksudkan ialah orang yang tidak membazir dalam berbelanja dan tidak berbelanja di luar batasan keperluan. Pada masa sama mereka bukan juga tergolong dalam kalangan orang bakhil dan kikir, termasuklah terhadap keluarga, jiran tetangga dan kaum muslimin yang fakir dan miskin.

Bersederhana

Sebaliknya ciri hamba Allah yang diistilahkan sebagai ‘ibadur-rahman’ ini ialah mereka yang adil dan baik kerana sering memilih jalan pertengahan iaitu bersederhana di antara dua budaya ekstrem dalam berbelanja.

Demikian prinsip dan etika penting dalam berbelanja yang digariskan syarak agar diamalkan setiap umat Islam. Jika sikap berlebih-lebihan amat berbahaya bagi individu ataupun masyarakat, demikian pula sifat bakhil menjadi punca kerosakan sesebuah tamadun.

Sebaliknya, sikap dan budaya terbaik ialah sikap dan budaya pertengahan dan sederhana seperti seruan dan acuan Islam. Salah satu nilai kesederhanaan dalam berbelanja dalam acuan Islam ialah saranan agar umat senantiasa membudaya nilai qanaah.

Qanaah salah satu sifat Nabawi yang bermaksud rasa cukup dan puas hati dengan apa jua rezeki pemberian Allah. Qanaah juga manifestasi keimanan yang mampu mengawal dan membatasi sifat ketamakan, kerakusan dan haloba yang mudah menguasai diri manusia.

Nabi SAW bersabda dalam satu hadis dinukilkan At-Tabrani dalam Al-Awsat menyebut: “Sifat qanaah tidak akan menghabiskan harta dan tidak akan menghilangkan rezeki”. Malah Rasulullah SAW turut mengajarkan kepada kita satu doa yang diamalkan baginda setiap kali selepas selesai menunaikan solat dua rakaat seperti berikut: “Ya Tuhanku, jadikan diriku sentiasa rasa puas dengan segala pemberian yang Engkau kurniakan padaku, berkatilah apa yang Engkau anugerahkan kepadaku dan gantikanlah apa yang hilang daripadaku dengan sesuatu yang lebih baik daripada Engkau.”

Penulis ialah Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM)

Sunday 26 May 2013

Wanita Pertama Masuk ke Syurga

Assallamualaikum w.b.t,
Hari ini kita lihat sama-sama adakah kita kini sudah layak menjadi orang yang layak masuk ke dalam syurga Allah swt? Kadang-kita merasa diri kita sudah cukup sempurna untuk mendapat ganjaran sebegitu, saya sertakan kisah Fatimah puteri kesayangan Rasulullah s.a.w bersama seorang wanita yang di khabarkan oleh Baginda wanita yang pertama masuk ke syurga.
Rasulullah s.a.w pernah memberitahu puteri kesayangannya Fatimah, bahawa beliau bukanlah wanita pertama yang akan masuk ke syurga. Hal itu sangat membuatkan Fatimah berasa dukacita dan cemburu lalu beliau pun bertanya kepada Rasulullah apakah amalan wanita tersebut sehingga beliau layak untuk menjadi wanita pertama yang masuk ke syurga. Rasulullah s.a.w memberitahu kepada puterinya itu supaya beliau pergi ke rumah wanita itu dan melihat sendiri amalan wanita tersebut.
Lalu, Fatimah pun bersiap-siap untuk pergi ke rumah wanita yang dimaksudkan oleh Rasulullah itu. Pada kali pertama kedatangannya ke rumah wanita yang bernama Siti Muti'ah itu, Fatimah tidak dibenarkan masuk kerana suami wanita tersebut tiada di rumah dan beliau tidak mendapat keizinan daripada suaminya untuk membenarkan tetamu masuk.
Maka, Fatimah pulang kembali ke rumahnya dan akan datang semula ke rumah tersebut pada keesokan harinya. Pada hari berikutnya, Fatimah datang kembali dengan membawa dua orang puteranya, Hassan dan Hussin. Malang lagi menimpa Fatimah kerana Siti Muti'ah tidak membenarkan Fatimah masuk ke rumahnya kerana beliau hanya meminta izin dari suaminya supaya Fatimah seorang sahaja yang boleh masuk ke rumahnya manakala Hassan dan Hussin tidak boleh masuk tanpa kebenaran suaminya. Sekali lagi Fatimah pulang dengan perasaan hampa kerana tidak dapat melihat amalan wanita tersebut.
Pada hari yang ketiga barulah Fatimah diizinkan masuk ke dalam rumah Siti Muti'ah. Pada pandangan Fatimah setelah pertemuannya dengan Siti Muti'ah, tiada apa-apa yang istimewa pada wanita tersebut yang melayakkan beliau menjadi wanita pertama yang masuk ke syurga. Sedang asyik Fatimah berbual dengan Siti Muti'ah, tiba-tiba Siti Muti'ah bangun dari duduknya dan segera bersiap-siap membuatkan Fatimah kehairanan. Rupa-rupanya wanita tersebut menyiapkan dirinya untuk menyambut kepulangan suaminya.
Sewaktu menyambut kepulangan suaminya, Siti Muti'ah menyediakan air dan menghidangkan sedikit makanan untuk suaminya. Beliau juga dilihat menyediakan sebuah tongkat yang akan digunakan oleh suaminya bagi menghukum Siti Muti'ah sekiranya didapati beliau melakukan kesalahan sepanjang pemergian suaminya. Siti Muti'ah juga memakai pakaian yang menarik untuk menghiburkan suaminya.
Setelah melihat adegan itu, Fatimah pulang dengan perasaan yang cukup kagum dan terharu dengan layanan yang sangat istimewa yang diberikan oleh Siti Muti'ah terhadap suaminya. Fatimah terus mendapatkan ayahandanya Rasulullah s.a.w dan menceritakan tentang peristiwa yang dilihatnya di rumah Siti Muti'ah. Dengan penuh rasa rendah diri, Fatimah memberitahu kepada Rasulullah bahawa sememangnya Siti Muti'ah sememangnya layak untuk menjadi wanita pertama yang masuk ke syurga kerana ketaatan yang tidak berbelah bahagi kepada suaminya itu. Wallahu'alam

26/05/2013

Tuesday 7 May 2013

Adakah Dia Milikku?


Persoalan yang seringkali timbul dalam hati setiap hamba Allah di muka bumi yang mendambakan cinta sesama manusia. Terkadang seribu usaha telah dilakukan dan tawakkal serta doa telah dilafazkan.Akan tetapi adakah hasilnya seperti ape yang diharapkan?
Sahabat,sedarlah bahawa usaha itu adalah satu kemestian yang dilakukan oleh setiap hamba Allah dimuka bumi kerana kita harus merancang akan tetapi Allah yang menentukan segalanya. Berapa ramai insan yang kecundang selepas usaha yang dilakukan tidak seperti apa yang dijangkakan?Bahkan ada yang memaling pada mentaati perintah Allah setelah kecewa dengan pengakhiran suatu usaha itu.
Sahabat, sedarlah bahawa Allah itu Maha kaya dan Maha mengetahui setiap hati hamba-hambanya.Ketentuan dariNya adalah yang terbaik untuk hamba-hambanya dan kita haruslah redha dengan ketentuanNya kerana ini adalah seiring dengan rukun iman keenam yakni percaya pada qadha dan qadar. Tidak redha dengan ketentuanNya bermakna tidak percaya pada rukun iman keenam. 
Jadikanlah Al-quran itu sebagai panduan. Sunnah menjadi ikutan. Solat hajat menjadi tempat mengadu luahan perasaan. Istikharah sebagai penghubung hati pada tuhan agar diberikan jalan dalam membuat pilihan. Indahnya Islam dalam mengajar umat islam untuk mencari jodoh yang baik.
Sahabat,berusahalah untuk mencari cinta sejati dengan sentiasa berusaha dan berdoa kepadaNya. Jangan pernah putus asa dalam usaha. Ujian Allah dalam meniti suatu perjalanan mencari cinta sangatlah berat kerana Allah inginkan hamba-hambaNya meminta-minta padaNya. Bersabarlah atas setiap ujian yang kita hadapi dengan tabah dan redha dengan ketentuanNya. 
Jika pilihan kita bukan seperti yang kita harap dan dambakan, percayalah tidak akan sesekali akan rugi bagi mereka yang bermusyawarah dan beristikharah kepada Allah. Adakalanya pilihan manusia itu, walau baik pada pandangan mata manusia, tetapi hakikatnya penuh kemudharatan tanpa kita sangka. Sedangkan sesuatu yang kita rasakan kurang baik di mata manusia, rupanya penuh kebaikan padanya tanpa sedikit pun kita menyedarinya. Mungkin juga pada saat ini kita melihatnya sesuatu yang indah, namun kita tidak tahu ianya akan menjadi suram pada masa mendatang.

Demikianlah pilihan Allah... ianya adalah baik untuk kita, agama kita, dan baik untuk setiap keadaan dan waktu yang ada. Pengetahuan Allah mengatasi pengetahuan hamba-hambaNya, maka serahkan urusan jodoh itu pada Allah. Jangan dipeningkan kotak fikir kita memikirkan siapa jodoh kita. Jika ada jodoh, pasti tidak akan ke mana. Yang penting siapkan diri kita agar menjadi soleh dan solehah. Siapa jodoh kita adalah ditentukan oleh diri kita sendiri. Jika kita soleh, insyaAllah Dia akan temukan kita dengan yang solehah. Jika kita solehah, maka Allah akan temukan dengan yang soleh. Bukankah Allah telah berfirman, Lelaki yang baik itu untuk wanita yang baik. Maka Yakinlah!  Janji Allah itu pasti benar.
Jangan mudah lesu dengan istiqamah.Jangan mudah mengalah dengan ujian yang ada tetapi jadikan lah ujian itu  sebagai satu kekuatan pada kita untuk terus berusaha dalam mencari cinta sejati. Namun nilai suatu cinta itu janganlah dilandaskan dengan nafsu. Biarlah ianya diredhai ole Allah swt. Suatu cinta yang berlandaskan nafsu itu mengundang murka Allah.
Tepuk dada tanya fikiran kerana apa kita cintakan seseorang itu. Adakah kerana hartanya? kerana paras rupanya? atau kerana agamanya? Pujilah kaum hawa itu atas kecantikannya tetapi pujilah dengan niat semata-mata pujian atas keindahan ciptaan Allah. Pujian yang bersandarkan kebesaran dan keagungan yang menciptakannya. Dan janganlah memuji sehingga mengundang syirik padaNya.
InsyaAllah para sahabat yang membaca artikel ini akan saya doakan juga supaya anda dipertemukan jodoh yang baik yang mampu membahagiakan anda bukan sahaja di dunia bahkan di syurga kelak. 

Aminnnnnnnnnn....8 Mei 2013 2.52AM

Friday 5 April 2013

9 Petua Awet Muda Cara Islam :)


Salam pembuka bicara dah lama tak post artikel dalam ni al-maklumlah kesibukan seharian melanda. Semoga semua sihat dan ceria selalu. Hari ni Icuk nak share petua untuk kekal awet muda mengikut ajaran islam mudah dan tak perlu kos yang tinggi untuk rawatan botox dan sebagainya. Semoga kita semua mendapat manfaat dari artikel ini.


Petua 1 : Sejurus bangun pagi,sebelum mandi dan gosok gigi, amalkan petua ini. Urutkan wajah kalian tu dgn air dari bawah dagu hingga ke atas dahi diiringi selawat nabi 3 kali. Amalkan setiap hari urutan ini.

Petua 2 : Sejurus bangun pagi,sebelum mandi dan gosok gigi, minum air dan biarkan ia di dalam mulut selama 10 saat dan sambil itu selawat 3 kali. Kemudian, baru diteguk. Air Liur ada enzim yang boleh jadi ubat.


Petua 3 : Amalkan memotong kuku atau rambut pada hari-hari yg baik iaitu Isnin, Khamis dan Jumaat. Selain itu, amalkan menanam kuku/rambut yang dipotong atau gugur.

Petua 4 : Semasa berdandan di waktu pagi baca selawat Nabi di kedua tapak tangan dan raupkan ke muka berserta niat dalam hati supaya di indahkan wajah seperti Nabi Yusuf. Amalkan setiap pagi.

Petua 5 : Untuk melihat wajah kita agak muda daripada umur kita, amalkanlah petua ini dengan jujur dan ikhlas. Senang sahaja, pertama, setiap kali selepas solat subuh bacalah surah yusuff, kemudian minum air suam sebanyak tiga teguk sahaja. Wajah kalian akan kelihatan muda daripada umur sebenar kalian.

Petua 6 : Hafalkan ayat 35 ~38 surah Al-Waqiah. Bacalah dalam hati setiap kali mandi untuk curahan pertama, mulakan dari kepala.

Petua 7 : Amalkan bangun pagi dan mandi embun. Usap embun dari hujung daun pada wajah, rambut dan kulit badan. Khasiat air embun amat banyak. Wajah kalian akan berseri dan tubuh badan menjadi sihat serta awet muda.

Petua 8 : Amalkan mandi air telaga sulung iaitu air telaga yang diambil pada waktu pagi sebelum ada orang lain mengambilnya terlebih dahulu daripada kita. Mandilah sebelum air telaga itu ditimba orang. InsyaAllah wajah akan berseri dan badan sentiasa ramping. *ni kalau kalian ada air telaga la yer.

Petua 9: Muka kita biasanya akan berminyak selepas bangun dari tidur. Inilah masanya untuk mengamalkan urutan wajah. Gunakan jari telunjuk kedua-dua belah tangan dan di letakkan di bawah mulut (dagu). Pusingkan jari kalian ke pipi, pipi ke hidung dan seterusnya ke bahagian dahi. Lakukan setiap pagi di susuli dengan meminum air suam sebelum mengambil sarapan pagi. Perlu diingat, jangan sesekali mengurut wajah kalian dari atas ke bawah kerana ia akan mempercepatkan proses kedutan.

Saturday 5 January 2013

Terdapat Enam Sifat Mulia Yang Di Miliki Oleh Orang Mukmin Ketika Di Timpa Musibah



Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.....

بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيم

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah dah lama Icuk tak update blog disebabkan kesibukan kerja dan tugas seharian, Alhamdulillah hari ni ada sedikit kelapangan boleh la menulis sedekit sebanyak untuk kita kongsikan bersama semoga kita semua mendapat rahmat dan manfaat InsyaAllah.

Setiap muslim yang diciptakan oleh Allah SWT dimuka bumi ini tidak akan sunyi daripada ditimpa musibah, penyakit atau dugaan. Besar atau kecil musibah atau dugaan tersebut bergantung kepada kekuatan iman yang dimiliki oleh seseorang hamba Allah itu.  Semakin kuat iman dan takwanya maka semakin berat ujian tersebut berlaku keatas dirinya. Ujian ini adalah penilaian Allah SWT untuk meningkatkan makam atau darjat seseorang hamba disisi Tuhannya.

Mengapa umat Islam sentiasa bersangka buruk kepada Allah SWT apabila ditimpa satu kesusahan atau musibah? Adakah ini satu penyeksaan atau ujian daripada Allah? Perkara sebegini pasti bermain di dalam fikiran kalian.

Ketika ditimpa musibah, hati sentiasa rasa resah gelisah, hidup menjadi tidak tenang tanpa panduan. Kadang-kala membuat sesuatu pekerjaan tidak menjadi. Fikiran risau tidak tentu arah seperti berada di lautan dalam tanpa pertolongan. Apabila dirasakan terlalu berat, tidak mampu dipikul sehinggakan sampai satu tahap, kalian merasakan hidup ini begitu sukar dan fikiran buntu tidak tahu dimana harus di cari penyelesaiannya!

Ingatlah... sesungguhnya orang mukmin tidak akan berputus asa dengan rahmat Allah SWT. Biar betapa beratnya bahu untuk memikul musibah ini yakinlah bahawa Dia sahaja akan dapat memberi pertolongan dan setiap kesusahan itu ada kejayaan dan kebahagiaan.

Allah SWT berfirman maksudnya : "Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya. Ia mendapat pahala (dari kebajikan) yang diusahakannya dan ia mendapat seksa (dari kejahatan) yang dikerjakannya."(Surah al-Baqarah ayat 286)

Memang hidup ini tidak akan pernah sunyi daripada setiap dugaan dan ujian. Apa yang boleh di katakan, sebagai umat Islam, seharusnya kalian yakin sesungguhnya setiap cabaran dan ujian hidup itu adalah bukti kasih sayang Allah terhadap kalian semua.

Sebenarnya kalian tidak tahu bahawa Allah SWT amat sayang kepada kalian, sebab itu Allah SWT datangkan  dengan pelbagai ujian dan musibah, kerana Allah SWT  tahu kalian adalah hamba yang mampu mnghadapi ujianNya. Sebaliknya, Allah SWT tidak akan menguji kalian jika kalian hamba yang tidak mampu.

 Allah SWT berfirman maksudnya :  "(Iaitu) orang-orang yang apabila mereka ditimpa oleh sesuatu kesusahan, mereka berkata: ‘Sesungguhnya Kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah Kami kembali’." (Surah al-Baqarah ayat 156)

Terdapat enam sifat mulia yang dimiliki oleh orang mukmin apabila ditimpa musibah. Sifat-sifat tersebut adalah seperti berikut :

Pertama : Sentiasa beriman dan reda terhadap ketentuan takdir daripada Allah SWT.

Orang mukmin yang beriman dan bertakwa akan sentiasa reda terhadap ketentuan takdir daripada Allah SWT, walaupun terpaksa menanggung musibah tersebut.

Kita wajib beriman bahawa segala musibah yang berlaku seperti gempa bumi, banjir, wabak penyakit adalah ketetapan daripada Allah SWT telah tertulis di Lauhul Mahfuz. Kita  wajib menerima ketentuan Allah SWT ini dengan berlapang dada (reda).

Allah SWT berfirman: "Tiada suatu bencana pun yang menimpa di bumi dan pada dirimu sendiri melainkan telah tertulis dalam kitab (Lauhul Mahfuz) sebelum Kami menciptakannya. Sesungguhnya yang demikian itu adalah mudah bagi Allah."
(Surah AL-Hadid ayat 22)

Kita wajib menerima takdir Allah ini dengan penuh reda, bukan dengan perasaan geram , marah atau mengeluh kepada Allah SWT .

Kedua : Sabar menghadapi musibah.

Orang mukmin sentiasa bersabar apabila ditimpa musibah. Sifat kesabaran yang tinggi akan mendapat ganjaran daripada Allah SWT tanpa hisab.

Menurut Imam As-Suyuthi dalam tafsir al-Jalalain, sabar adalah menahan diri daripada segala apa yang dibenci (al-habsu li an-nafsi 'alaa maa takrahu). Sikap inilah yang wajib dimiliki ketika kita menghadapi musibah. Selain itu, kita disunnahkan untuk  mengucapkan kalimat istirja' (Inna lillaahi wa innaa ilaihi raaji'uun) ketika berlaku musibah.

Allah SWT berfirman: “Dan sesungguhnya akan Kami berikan ujian kepadamu dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan. Dan berikanlah berita gembira kepada orang-orang yang sabar. Orang-orang yang apabila ditimpa musibah, mereka mengucapkan: "Inna lillaahi wa innaa ilaihi raaji'uun".”
(Surah Al-Baqarah ayat 155-156)

Oleh yang demikian, bersabarlah. Jangan sampai kita hilang perasaan sabar dengan berputus asa atau berprasangka buruk seakan-akan Allah SWT  tidak akan memberikan kita kebaikan pada masa hadapan. Ingatlah bahawa putus asa itu adalah su`uzh-zhan billah (berburuk sangka kepada Allah)! Su`uzh-zhan kepada manusia pun tidak dibolehkan, apatah lagi kepada Allah SWT. Na’uzubillahi min zalik.

Allah SWT menegaskan bahawa sikap tersebut adalah sikap yang kufur sebagaimana firmanNya yang bermaksud : "Sesungguhnya tiada berputus asa daripada rahmat Allah melainkan kaum yang kafir." (Surah Yusuf ayat 87)


Dari Ummu Salamah RA mengisahkan: aku pernah mendengar Rasulullah SAW bersabda, “Barang siapa ditimpa musibah, selanjutnya ia berkata: "Ya Allah, berikahlah pahala atas musibahku dan berikanlah ganti untukku yang lebih baik daripada musibah tersebut. Melainkan Allah memberikan ganti yang lebih baik daripada musibah yang menimpanya."

Ummu Salamah berkata, "Ketika Abu Salamah meninggal dunia, aku berkata, "Adakah kaum Muslim yang lebih baik daripada Abu Salamah? Dia adalah keluarga pertama yang berhijrah kepada Rasulullah SAW, kemudian aku mengucapkan doa di atas lalu Allah memberi ganti untukku berupa rasulNya. Rasulullah SAW mengutuskan Hathib bin Abu Balta'ah untuk melamarku untuk beliau. Aku mempunyai anak perempuan dan aku adalah wanita pencemburu. Beliau bersabda, "Adapun anak perempuannya, maka aku berdoa kepada Allah mudah-mudahan Allah mencukupinya (Ummu Salamah) dengannya dan aku berdoa kepada Allah agar Allah menghilangkan sifat cemburu. Kemudian aku bernikah dengan Rasulullah SAW."(Hadith Riwayat Muslim)


Ketiga : Mengetahui hikmah di sebalik musibah.

Seseorang mukmin yang mengetahui hikmah (rahsia) di sebalik musibah akan memiliki kekuatan mental yang baik. Berbeza dengan orang yang hanya memahami musibah secara cetek iaitu dengan hanya melihatnya secara zahir sahaja. Mentalnya sangat lemah dan mudah mengeluh atas segala musibah yang menimpa.

Antara hikmah musibah adalah untuk diampunkan dosa-dosanya.


Sabda Rasulullah SAW yang maksudnya : "Tiadalah seorang mukmin yang ditimpa musibah tertusuk duri atau lebih (teruk) daripada itu melainkan dengannya (musibah tersebut) Allah akan menghapuskan sebahagian daripada dosa-dosanya." (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Seseorang muslim yang mati ditimpa bangunan atau tembok akibat gempa bumi adalah tergolong sebagai orang yang mati syahid.

Sabda Nabi SAW maksudnya : "Orang-orang yang mati syahid itu ada lima golongan; (1) orang yang terkena wabak penyakit taun, (2) orang yang terkena penyakit perut (disentri, taun, dan sebagainya), (3) orang yang tenggelam, (4) orang yang ditimpa tembok/bangunan, dan (5) orang yang mati syahid dalam peperangan di jalan Allah." (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Rasulullah SAW juga bersabda maksudnya : "Akan diampuni bagi orang yang mati syahid segala dosa-dosanya, kecuali hutang." (Hadis riwayat Muslim)

Hikmah lain adalah jika anak-anak muslim meninggal, kelak mereka akan masuk ke syurga. Sabda Nabi SAW maksudnya : "Anak-anak kaum muslimin (yang meninggal) akan masuk ke dalam syurga." (Hadis riwayat Ahmad)

Keempat : Tetap Terus Berikhtiar.

Orang mukmin akan terus berikhtiar dan berusaha bersungguh-sungguh untuk menghindarkan diri daripada sebarang bahaya yang muncul. Kita tidak disuruh untuk  berdiam diri atau pasrah berpangku tangan bertongkat dagu menunggu bantuan datang ketika musibah menimpa kita.

Beriman kepada ketentuan Allah SWT bukan bererti kita hanya duduk diam termenung dan meratapi nasib tanpa berusaha untuk mengubah apa yang ada pada diri kita.

Allah SWT berfirman maksudnya : "Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah keadaan sesuatu kaum sehingga mereka mengubah keadaan yang ada pada diri mereka sendiri."
(Surah Ar-Ra’du ayat 11)

Ketika berlakunya wabak penyakit di Syam, Umar bin Al-Khattab segera keluar dari negeri tersebut. Ketika ditanya kepadanya, "Adakah kamu hendak lari daripada takdir Allah?", Umar menjawab, "Ya, aku lari daripada takdir Allah ini untuk menuju kepada takdir Allah yang lain."

Rasulullah SAW juga memberi petunjuk bahawa segala bahaya (kemudaratan) wajib untuk dihapuskan (dihindarkan). Misalnya ketiadaan logistik, tempat tinggal, masjid, sekolah dan sebagainya. Nabi SAW bersabda, "Tidak boleh menimbulkan bahaya bagi diri sendiri dan bahaya bagi orang lain." (Hadis riwayat Ibnu Majah)

Kelima : Memperbanyakkan berdoa dan berzikir

Kita sentiasa dianjurkan untuk memperbanyakkan doa dan zikir bagi orang yang ditimpa musibah. Orang yang mahu berdoa dan berzikir adalah lebih mulia di sisi Allah daripada orang yang enggan atau malas.

Rasululah SAW mengajarkan doa bagi orang yang ditimpa musibah: "Allahumma jurnii fii musiibatii wa akhluf lii khairan minhaa" (Ya Allah, berilah pahala dalam musibahku ini dan berilah ganti bagiku yang lebih baik daripadanya.) (Hadis riwayat Muslim)

Zikir juga dapat mententeramkan hati orang yang sedang gelisah atau yang mengalami tekanan.

Allah SWT berfirman maksudnya :  "Ingatlah, hanya dengan mengingati Allah sahajalah hati menjadi tenteram."(Surah Ar-Ra’du ayat 28)

Antara zikir yang dianjurkan adalah dengan beristighfar "Astaghfirullahal 'azhim". Sabda Nabi SAW: "Barangsiapa memperbanyakkan istighfar, maka Allah akan membebaskannya daripada kesedihan, memberinya jalan keluar terhadap kesempitannya, dan akan memberinya rezeki daripada arah yang tidak disangka-sangkanya." (Hadis riwayat Abu Daud)

Rasulullah SAW bersabda: Ucapan yang paling disukai Allah itu ada empat, engkau boleh memulainya dengan kalimat mana saja, iaitu Subhanallah (Maha suci Allah), Alhamdulillah (segala puji milik Allah), Laa ilaha illallah (tidak ada Tuhan selain Allah), dan Allahuakbar (Allah Maha besar). (Hadis Riwayat Muslim)

Keenam : Bertaubat kepada Allah SWT.

Tiada seorang hamba yang ditimpa musibah melainkan ia adalah akibat daripada dosa-dosa yang dilakukannya. Maka sudah semestinya dia perlu bertaubat nasuha kepada Allah SWT. Orang yang tidak mahu bertaubat setelah ditimpa musibah adalah orang sombong dan takbur.

Allah SWT berfirman: "Dan apa sahaja musibah yang menimpa kamu, maka ia adalah disebabkan oleh perbuatan tanganmu sendiri, dan Allah memaafkan banyak (daripada kesalahan-kesalahanmu)." (Surah Asy-Syuura ayat 30)

Sabda Nabi SAW: "Setiap anak Adam mempunyai kesalahan (dosa). Dan sebaik-baik orang yang bersalah adalah orang yang bertaubat." (Hadis riwayat at-Tirmidzi)

Terdapat tiga rukun dalam melakukan taubat nasuha :

1. Menyesali atas dosa-dosa yang telah dilakukan.

2. Berhenti daripada melakukan perbuatan dosa-dosanya itu.

3. Berazam (tekad yang kuat) untuk tidak akan mengulangi lagi dosa-dosa tersebut di masa akan datang.

Jika dosa-dosanya berkaitan hubungan sesama manusia seperti belum membayar hutang, pernah memfitnah atau mengumpat seseorang, pernah menyakiti perasaan orang lain dan sebagainya, maka rukun taubat ditambah satu lagi iaitu menyelesaikan masalah urusan sesama manusia dan memohon maaf.

Sahabat yang dikasihi,
Marilah sama-sama kita perbaiki niat kita untuk beramal soleh iaitu mengikhlaskan hati semata-mata kerana Allah SWT. Apa sahaja musibah yang datang perlulah kita tenang, bersabar dan menganggap ianya satu proses pembersihan diri kita daripada dosa-dosa yang pernah kita lakukan. Jika kita mampu melakukannya kita akan berada di dalam kebaikan dan rahmat Allah SWT.

Peace No War! Icuk Threegfm..06-01-2013